Islamic Widget

PEMBACA

Friday, October 12, 2012

MASALAH KEPUTIHAN WANITA




بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Islam memberikan perhatian khusus berhubung kebersihan bagi seorang Muslim. Tidak ada agama yang menjadikan urusan kebersihan di antara sepenting-penting perkara di dalam agama kecuali Islam. Kebersihan yang dituntut tidak hanya semata bersihnya pakaian, anggota dan tempat ibadat serta selamat tubuh daripada hadas kecil dan besar tetapi Islam juga menitik beratkan kebersihan batin seperti ikhlas, jauh dari hasad, dengki, bongkak dan sebagainya sebagai pelengkap ajaran Islam yang maha sempurna. Perintah ke atas setiap Muslim agar bersih dalam setiap ibadat sebagai isyarat sentiasa bersih di dalam semua perkara. Bersih adalah mengagungkan Allah, bersih adalah khusyuknya jiwa, bersih adalah kerukunan hati, bersih adalah kemurnian jiwa pemiliknya bersih adalah... bersih adalah...


            Allah menjadikan kebersihan sebagai salah satu prasyarat untuk mendapat kasih sayang Allah. Firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah ayat 222;

 
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.

 Pujian Allah kepada Ahli Quba’ di dalam surah at-Taubah ayat 108;

 

رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ              

Maksudnya: Orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).


            Seorang Muslim mesti menjadi contoh kepada segala kecantikan, kesempurnaan dan kebersihan dalam kehidupan seharian. Lambang kepada kebersihan zahir dan batin sebagaimana pesanan baginda kepada sekelompok daripada sahabat di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ahmad, Hakim dan Baihaqi;

 

إِنَّكُمْ قَادِمُونَ عَلَى إِخْوَانِكُمْ فَأَصْلِحُوا رِحَالَكُمْ وَأَصْلِحُوا لِبَاسَكُمْ حَتَّى تَكُونُوا كَأَنَّكُمْ شَامَةٌ فِي النَّاسِ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَلَا التَّفَحُّشَ
Maksudnya: Sesungguhnya akan kamu masuk bertemu saudara kamu, maka indahkan kenderaan kamu, elokkan pakaian kamu sehingga kamu seperti tahi lalat (jelas terlihat) di hadapan orang ramai. Sesungguhnya Allah tidak menyukai dosa-dosa pada perbuatan dan perkataan dan sengaja melakukan dosa.

 Bahkan tuntutan kecantikan menjadi terlebih utama apabila ada keterikatannya dengan sah atau tidaknya sesuatu ibadat yang dilakukan. Sabda Nabi J sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasaie dan Ibn Majah;
 

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ صَدَقَةً مِنْ غُلُولٍ وَلَا صَلَاةً بِغَيْرِ طُهُورٍ
Maksudnya: Allah tidak menerima sedekah daripada jalan haram dan tidak menerima solat tanpa bersuci.


APA ITU KEPUTIHAN?

Keputihan: Sebatian yang di rembes oleh sistem peranakan wanita

Maka daripada definisi tersebut dapat difahami keputihan yang keluar dari sistem peranakan wanita terdiri daripada;

1)    Lembapan faraj: Sedikit lembapan yang didapati oleh seorang wanita apabila meletakkan kain di farajnya.

2)    Al-Qassah al-Baido’: Berkata Imam al-Zailaie t: Sesuatu yang seperti benang putih(bertali) yang keluar dari kemaluan wanita pada hari terakhir haidnya. Sebagai tanda wanita itu telah suci.

Sebahagian ulama mengatakan: Air putih yang keluar pada akhir tempoh haid.

3)    Mazi: Lendir lembut yang likat yang keluar dari qubul tanpa memancut ketika bersyahwat.

4)    Wadi: Lendir lembut putih yang keluar setelah kencing atau keletihan.


5)    Mani: Lendir likat yang keluar dari kemaluan ketika kemuncak syahwat. Mani wanita kuning dan lembut.
        

Semua ini merupakan istilah khusus di kalangan fuqaha berhubung lendir selain darah yang keluar dari sistem peranakan wanita. Di dalam bahasa awam ia dipanggil keputihan. Berkenaan mazi, wadi dan mani tidak dibahaskan di sini kerana sifat dan kriteria air tersebut dapat dikenali dan dibezakan di antara satu sama lain dan hukum mengenai keduanya jelas di sisi kita.

             Perbahasan hanya menjurus yang pertama dan kedua (lembapan faraj & Al-Qassah Al-Baido’) kerana ini yang dimaksudkan dengan keputihan di dalam bahasa orang ramai.



KEADAAN KEPUTIHAN YANG KELUAR DARI SEORANG WANITA
Terdapat tiga keadaan keputihan yang keluar dari sistem peranakan seorang wanita;

1)     Normal: Faraj mengeluarkan lendir tidak  berwarna dan tidak berbau. Ia berfungsi sebagai pelindung semula jadi dengan cara mengurangkan geseran dinding faraj ketika berjalan dan ketika saat melakukan hubungan seks. Dalam keadaan normal lendir ini dominan dan tidak berlebihan, hanya sekadar untuk menjaga ekosistem faraj. Lendir jenis ini tidak keluar dari sistem peranakan wanita dan tidak dipermasalahkan oleh para wanita. Ia seumpama air liur yang sentiasa berada di dalam mulut.

2)     Normal: Keadaannya sepertimana yang pertama. Akan tetapi kadarnya agak berlebihan sehingga ianya meleleh keluar dari sistem peranakan seorang wanita. Ini yang dinamakan keputihan mengikut bahasa awam dan dipermasalahkan oleh para wanita mengenai hukum berkenaannya. Keputihan ini keluar pada ketika;

- Tanda suci dari haid.

- Keluar sebelum kedatangan haid.

- Keluar ketika hamil.

- Keluar ketika waktu subur.

- Ketika persetubuhan dan naik syahwat. (Keputihan ini dikeluarkan dari bibir faraj)

- Mencantumkan di antara benih lelaki dan wanita dan sebagai pembekal makanan kepada benih lelaki yang berada di dalam rahim. (Keputihan ini dikeluarkan oleh pangkal rahim)

- Keluar ketika dalam kemurungan atau kegembiraan teramat sangat.

- Selepas menopaus.


3)     Tidak normal: Keadaan ini berlaku apabila keputihan yang keluar terlalu banyak dan berlaku perubahan pada warna, bau dan rasa gatal. Lendir menjadi kekuningan sehingga kehijauan, rasa gatal, luka bibir faraj, terlalu kental dan berbau. Keadaan ini memerlukan rawatan doktor.



Dari sini dapat difahami bahawa keputihan adalah lembapan faraj yang dimaksudkan oleh fuqaha di dalam kitab-kitab mereka. Lembapan faraj yang normal seumpama peluh pada kulit kita masing-masing. Apabila lembapan ini di rembes secara berlebihan oleh badan, maka awam menamakannya sebagai keputihan.


Adapun keputihan yang keluar sebagai petanda sucinya wanita daripada haid disebut di dalam istilah khusus fuqaha sebagai Al-Qassoh Al-Baido’. Setiap wanita dapat mengetahui dirinya telah tamat tempoh haid dengan dua keadaan; Sama ada dengan keluarnya keputihan atau kering dari darah haid dengan cara dimasukkan kapas ke dalam kemaluan dan kapas itu tidak dicemari dengan darah haid. Ini berdasarkan hadis Saidatina Aisyah g yang diriwayatkan oleh Bukhari:
 

كُنَّ نِسَاءٌ يَبْعَثْنَ إِلَى عَائِشَةَ بِالدُّرَجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ

Maksudnya: Sekumpulan wanita pergi bertemu dengan Saidatina Aisyah dengan kapas yang terdapat kekuningan padanya. Maka berkata Saidatina Aisyah: Jangan kalian gopoh, sehinggalah kalian melihat lendir putih.



Ibn Hajar menyebut di dalam Fath Bari: Al-Qassah ialah air putih yang dikeluarkan oleh rahim apabila berakhir tempoh haid.

Berkata Imam Malik: Aku pernah bertanya wanita mengenai lendir putih tersebut. Ia merupakan perkara yang makruf yang para wanita mengetahuinya ketika bersih daripada haid.
 


KAWASAN YANG MENGELUARKAN KEPUTIHAN
Terdapat empat tempat yang mengeluarkan keputihan bagi wanita;

1)     Vulva (Bibir faraj)

2)     Vagina (Faraj)

3)     Cervix (Pangkal Rahim)

4)     Uterus (Rahim).
Kawasan yang paling banyak mengeluarkan keputihan yang berlebihan jika berlaku perubahan hormon ialah pangkal rahim dan faraj.


uterusud7.jpg





PERANAN KEPUTIHAN NORMAL KEPADA WANITA

 Keputihan yang normal berperanan sebagai;

1)     Melembap

2)     Membersihkan

3)     Penyediaan medium pH yg sesuai utk badan dan peranakan

4)     Cairan semula jadi yang membantu ketika berlaku persetubuhan.

5)     Membersihkan sistem peranakan dan membuang sel-sel lama dan mengganti dengan yang baru.


Di dalam Subul as-Salam menukilkan ucapan para doktor: Sesungguhnya air putih ini (Al-Qassah) yang datang setelah haid sebagai melembutkan dinding rahim. Dinding rahim dibalut dan melembut dengan air ini sebagai persediaan menyambut benih baru setelah membuang benih lama yang tidak disenyawakan. Mereka berkata: Ia sebagai katil dan hamparan kepada tetamu yang ditunggu.


1)     Adakah keputihan itu membatalkan wuduk?

2)     Adakah keputihan itu najis?

 
PERKARA MEMBATALKAN WUDUK


Terdapat 4 perkara yang membatalkan wuduk di dalam Mazhab kita Imam Syafie;

1)     Keluar sesuatu dari qubul atau dubur kecuali mani

2)     Hilang akal kecuali tidur tetap papan punggung

3)     Sentuh kulit lelaki dan wanita tanpa lapik

4)     Menyentuh kemaluan anak Adam dengan telapak tangan.



-          Apakah qubul bagi seorang wanita?
Jelas kepada kita semua tanpa diperjelaskan qubul wanita berbeza dengan qubul bagi seorang lelaki. Penjelasan berkenaan ini penting agar tidak meletakkan hukum yang berlainan pada tempat yang sama.


Berkata al-Khatib Syarbini: Para Fuqaha menggunakan bahasa “keluar dari dua jalan” sekadar mengikut kebiasaan kerana hakikatnya bagi wanita terdapat tiga jalan. Dua di qubul dan satu di dubur.

Dua saluran qubul yang dimaksudkan bagi wanita ialah saluran peranakan dan saluran kencing.

-          Apakah semua yang keluar dari qubul membatalkan wuduk?
Para Fuqaha membahagikan benda yang keluar dari qubul dan dubur dengan;


1)     Kebiasaan keluar melalui jalan tersebut seumpama tahi, air kencing, angin, mazi dan wadi. Adapun keluar mani tidak membatalkan wuduk.
2)     Jarang-jarang keluar dari qubul dan dubur seumpama batu, cacing, kencing tidak lawas dan istihadah.


Pada pandangan Syafieyah batal wuduk jika keluar sesuatu dari qubul atau dubur sama ada benda yang menjadi kebiasaan keluar dari situ atau tidak. Hanya sanya terdapat perbincangan Ulama selain Syafieyyah pada benda yang tidak menjadi kebiasaan yang keluar dari qubul atau dubur seumpama batu, cacing dan seumpamanya. Maka dapat disimpulkan di sini, keputihan yang keluar merupakan salah satu di antara perkara yang membatalkan wuduk.

 
ADAKAH KEPUTIHAN ITU NAJIS?

Berselisih ulama pada hukum keputihan berdasarkan definisi yang diberikan oleh mereka berhubung keputihan: Air yang berada di antara mazi dan peluh.


1)    Kelompok yang mengatakan unsur peluh lebih banyak di dalam keputihan mengatakan ia bersih. Ini kerana peluh bersih dan tidak najis. Ini berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh Muslim:



عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ دَخَلَ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ عِنْدَنَا فَعَرِقَ وَجَاءَتْ أُمِّي بِقَارُورَةٍ فَجَعَلَتْ تَسْلِتُ الْعَرَقَ فِيهَا فَاسْتَيْقَظَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا أُمَّ سُلَيْمٍ مَا هَذَا الَّذِي تَصْنَعِينَ قَالَتْ هَذَا عَرَقُكَ نَجْعَلُهُ فِي طِيبِنَا وَهُوَ مِنْ أَطْيَبِ الطِّيبِ

Maksudnya: Baginda Nabi masuk kepada kami dan tidur qailulah. Baginda berpeluh ketika tidur. Maka ibu ku datang dengan membawa bekas lalu menadah peluh baginda ke dalam bekas tersebut. Baginda Nabi terjaga dan berkata: Wahai Umma Sulaim, apa yang sedang engkau lakukan. Dia menjawab: Ini peluh mu. Kami ingin menjadikannya ia minyak wangi kami dan ia merupakan sebaik-baik wangian.


2)    Kelompok yang mengatakan unsur mazi lebih banyak di dalam keputihan mengatakan ia najis. Ini berdasarkan hadis Sayidina Ali yang diriwayatkan oleh Muslim:

 

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ كُنْتُ رَجُلًا مَذَّاءً وَكُنْتُ أَسْتَحْيِي أَنْ أَسْأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَكَانِ ابْنَتِهِ فَأَمَرْتُ الْمِقْدَادَ بْنَ الْأَسْوَدِ فَسَأَلَهُ فَقَالَ يَغْسِلُ ذَكَرَهُ وَيَتَوَضَّأُ


Maksudnya: Aku lelaki yang sentiasa keluar air mazi. Aku malu untuk bertanya baginda Nabi J kerana aku menantu baginda. Aku meminta al-Miqdad bin Aswab untuk bertanya baginda. Baginda menjawab: Hendaklah dia membasuh kemaluannya dan berwuduk.

 
Dari hadis ini jelas menunjukkan mazi najis dan membatalkan wuduk.

Kelompok yang mengatakan lembapan/keputihan menyamai peluh lebih kuat. Maka daripada apa yang telah disebutkan dapat disimpulkan sebagaimana yang disebut di dalam Nihayah al-Muhtaj & Tuhfah al-Muhtaj (dua kitab muktabar di dalam Mazhab Syafie):

 Keputihan itu terdapat tiga jenis:

1)     Bersih. Iaitu yang berada di tempat yang terzahir ketika duduk bagi seorang wanita. Kawasan yang wajib dibasuh ketika mandi junub dan istinjak. (Keputihan yang datang dari bibir faraj /vulva).

2)     Najis. Keluar dari dalam faraj. Iaitu kawasan yang melebihi kadar yang boleh dicapai oleh zakar.(Keputihan yang datang dari pangkal rahim/cervic dan rahim/uterus)

3)     Bersih mengikut pendapat terkuat. Dari kawasan yang mampu dicapai oleh zakar. (Keputihan yang datang dari faraj/vagina. Panjang vagina dalam 7-9 cm).

Di sini dapat kita memahami kaedah ulama yang mengatakan setiap benda yang mengalir di dalam tubuh benda hidup hukumnya najis. Seumpama darah, muntah, kencing dan lain-lain.


- Kemungkinan ada yang mempersoalkan, kenapa dihukum bersih keputihan/lembapan yang datang dari kawasan yang boleh dicapai oleh zakar sedangkan ia termasuk kawasan di dalam tubuh manusia?. Penulis tambah di sini fatwa Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah berhubung masalah tersebut:


“Soalan: Keputihan/lembapan yang secara nas mengatakan ianya bersih, apakah termasuk keputihan yang didapati ketika berjimak yang kadang-kadang ianya keluar, ataupun ia tidak termasuk kategori bersih?

 Jawapan: Secara jelas sesungguhnya lembapan faraj haiwan (termasuk manusia)  yang bersih, juga bersih jika ia berada di zahir. Iaitu yang didapati di antara dua bibir faraj. Sama hukum bersih sama ada masih di bibir faraj atau yang telah berpindah.

Berlainan hukumnya lembapan yang datang dari dalam iaitu yang datang dari belakang bibir faraj. Ianya najis akan tetapi tidak dikatakan najis kecuali setelah berpindah dari tempat asalnya (dalam faraj). Ini kerana setiap yang masih berada di dalam rongga tidak dihukumkan dengan najis kecuali setelah berpisah dari tempat tersebut.

Bertitik tolak daripada situ tidak dikatakan najis zakar individu yang bersetubuh kerana asal normal keadaan tidak akan meleleh keluar lembapan dari dalam faraj. Jika diyakini keluar lembapan itu ketika jimak maka najislah bibir faraj dan zakar yang menyetubuhinya. Maka lembapan yang keluar ketika jimak;

1)     Diyakini datang dari zahir
2)     Syak sama ada datang dari zahir atau dari dalam. Kedua-dua keadaan ini dihukumkan ia bersih
Jika diyakini ia datang dari dalam maka lembapan itu najis.”

 
KESIMPULAN
1)     Keputihan yang keluar tidak semestinya penyakit. Keputihan yang normal atau tidak dapat diketahui oleh wanita itu sendiri

2)     Keputihan/lembapan yang berada di bibir faraj bersih sama ada terpisah dari bibir faraj atau tidak. Ia menyamai peluh di anggota badan. Ini pendapat terkuat di kalangan Syafieyah.


3)     Keputihan yang datang dari kawasan dalam faraj tidak dihukumkan najis kecuali terpisah dari kawasan asalnya.

4)     Jika meragui sama ada lembapan/keputihan dari bibir faraj atau dalam faraj, maka hukumnya bersih.

5)     Jika pasti lembapan/keputihan dari dalam faraj sepakat ulama syafieyah mengatakan ia najis.


6)     Keputihan yang keluar dari dalam rongga peranakan sehingga membasahkan pakaian dalam membatalkan wuduk
kecuali pakaian dalam dilembapkan oleh lendir dari bibir faraj. Ini tidak membatalkan wuduk.

Nota hujung: Dikatakan di antara punca masalah keputihan (tidak normal) yang berlebihan sehingga keputihan yang keluar menjadi kekuningan sehingga kehijauan dan berbau busuk yang menimpa para wanita adalah disebabkan memakan kubis bulat atau kuahnya. Kesannya boleh membawa kegatalan, rasa sakit, tidak selesa dan jangkitan kuman kepada kemaluan wanita tersebut. Jika masalah ini serius ia boleh membawa kepada penyakit kanser pangkal rahim, kemandulan dan Migrain.
Allahu A’lam
Disediakan oleh:
Muhammad Aidil Azwal bin Zainudin

http://www.mymkkk.org/efiqh/view_soalan.php?id=20

5 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

Cara mudah dan selamat mengatasi keputihan ialah ambil makanan/ minuman yg mengandungi bakteria baik. yang mudah nkdapat ialah vitagen/ yakult dan yogurt. amalkan hari2 dlm beberapa hari anda akan dpt rasai perubahan.

atau cuci menggunakan pencuci sireh emas atau pencuci sireh HPA. memang berkesan.

cara lain ambil minyak kelapa dara Softgel keluaran Halagel. Murah tetapi berkualiti. Halagel boleh jual murah berbanding jenama lain bukan sbb tak berkualiti, tetapi sebab Halagel buat sendiri GE;atin Kapsul. so, dia jual murah!

cubalah mana2 cara di atas. insyaAllah berkesan.. :)

ZahrahZ said...

maaf saya tidak faham kesimpulan nombor 2 dan 3. terpisah itu bagaimana?

Unknown said...

Boleh dapatkan coco collagen power plus untuk mengurangkan keputihan & menyihatkan kesihatan wanita.untuk keterangan lanjut whatsapp 011-27069373

Unknown said...

Dekat mana ada jual