Islamic Widget

PEMBACA

Showing posts with label DAKWAH. Show all posts
Showing posts with label DAKWAH. Show all posts

Wednesday, November 18, 2009

JALAN MEREKA YANG MENUJU ALLAH

KITAB "MUKHTASAR MINHAJ AL-QASIDIN' OLEH IMAM AHMAD BIN QADAMAH AL-MAQDISI DALAM BAHASA ARAB TELAH DITERJEMAHKAN KE BAHASA MELAYU ADALAH BUKU YANG BAGUS SEKALI UNTUK PEDOMAN DALAM KEHIDUPAN KITA DUNIA DAN AKHIRAT.

MENGGABUNGKAN JILID 1 DAN 2, TERBITAN BERSAMA RANGKAIAN BERKAT DAN PUSTAKA SALAM. CETAKAN YANG ADA PADA SAYA IALAH CETAKAN PERTAMA SEPTEMBER 2005. KITAB SETEBL 815 MUKASURAT TELAH DITAHQIQ (DISEMAK)) DAN DITAKHRIJ (DIKELUARKAN HADIS2 DARI SUMBERNYA BESERTA HUKUMNYA) OLEH ABU AL-HARITH ALI BIN HASAN BIN ALI.

BUKU INI SEBENARNYA RINGKASAN KEPADA KITAB "MINHAJ AL-QASIDIN" KARANGAN SYEIKH JAMALUDIN BIN AL-JAUZI. DAN IA DIRINGKASKAN OLEH IBN QUDAMAH AL-MAQDISI ALHANBALI; JUSTERU TAJUKNYA MENJADI "MUKHTASAR MINHAJ AL-QASIDIN" KERANA IA ADALAH RINGKASAN KITAB YG PERTAMA TADI. DENGAN OLAHAN PENGARANG YANG TIDAK TERIKAT DENGAN GAYA BAHASA AL-JAUZI, PENGARANG TELAH MENGETENGAHKAN BUKU INI KEPADA MASYARAKAT KERANA ATAS KEPENTINGAN DAN KESEDARAN HEBATNYA DAN MANFAATNYA BUKU TERSEBUT.

BUKU MINHAJ AL-QASIDIN BOLEH DIKATAKAN DICERNAKAN RENTETAN DARIPADA WUJUDNYA KITAB "IHYA' ULUMUDDIN" KARANGAN AL-GHAZALI. OLEH KERANA AL-JAUZI MENYEDARI PENTINGNYA BAGI KITA UNTUK MEMPUNYAI "SEBUAH TEMAN" BUAT BEKAL DAN PENYULUH KEHIDUPAN YANG BERSUMBERKAN NAS-NAS ALQURAN DAN SUMBER-SUMBER LAIN YANG BERSIH DARIPADA KECACATAN SEPERTI YANG TERDAPAT DALAM "IHYA' ULUMUDDIN', MAKA LAHIRLAH KITAB "MINHAJ ALQASIDIN".

AL-JAUZI TIDAK BERSETUJU DAN TIDAK RELA KECACATAN YANG ADA DALAM IHYA' ULUMUDDIN" KARANGAN AL-GHAZALI SEPERTI KEWUJUDAN HADIS-HADIS PALSU DAN LEMAH/DOIF MENJADI SANDARAN. AL-JAUZI MAHU YANG MENJADI SANTAPAN DAN TATAPAN BUAT BEKALAN DAN PEDOMAN PENUNTUT KEBENARAN ADALAH NAS-NAS ALQURAN, SABDA JUNJUNGAN DAN KALAM PILIHAN. LANTAS DIBINCANGKAN TENTANG APA YANG PERLU DIBETULKAN DALAM "IHYA'" ITU DI DALAM BUKUNYA YANG LAIN YANG BERJUDUL "TALBISU IBLIS".

TIDAKLAH BERMAKNA SEMUA YANG ADA DALAM "IHYA'" YANG BERJILID-JILID ITU SALAH. ADA YANG BENAR, ADA YANG SALAH. AL-GHAZALI HANYA MENGAMBIL SEMUA HADIS YANG SAMPAI KEPADANYA, BUKANNYA BELIAU YANG MEREKA-REKA. INSAN TIDAK ADA YANG SEMPURNA. HANYA ALLAH JUA YANG SEMPURNA DAN BERSIH DARI SEBARANG CACAT-CELA.

KESIMPULAN SALASILAH KETIGA-TIGA BUKU INI IALAH; BUKU "MINHAJ" ADALAH RUMUSAN BUKU "IHYA', MANAKALA BUKU "MUKHTASAR" PULA ADALAH RINGKASAN BUKU "MINHAJ" (MUKHTASAR RINGKASAN BUKU MINHAJ RUMUSAN BUKU IHYA').

MARILAH KITA MENAMBAHKAN ILMU DAN AMAL DENGAN MEMBACA BUKU INI. IA IBARAT MINUM PATI JUS YANG LAZAT DAN ENAK SERTA MUDAH DIHADAM.

Sunday, July 19, 2009

Tazkirah Surah Al Masad

Tazkirah Surah Al Masad
Kebanyakan mushaf Al-Quran menamakan surah ini sebagai Surah Al-Masad. Terdapat juga di dalam sebahagian mushaf Al-Quran dan sebahagian kitab-kitab tafsir menamakannya sebagai Surah Tabbat. Di samping itu ada yang menamakannya sebagai Surah Abi Lahab, Surah Lahab dan Surah Ma Kana Min Abi Lahab. Penamaan surah ini kelihatannya diambil daripada perkataan yang terdapat di dalamnya.

Abu Lahab bukanlah orang yang asing dengan Nabi saw. Dia adalah bapa saudara Nabi saw. Di samping mempunyai hubungan kekeluargaan beliau juga adalah jiran terdekat Nabi saw. Namun di kala Nabi memerlukan sokongan terhadap permulaan dakwah baginda kepada keluarga baginda beliaulah orang yang awal-awal lagi melabel Nabi dengan sifat kecelakaan. Maka tidak hairanlah Allah sendiri melontarkan kembali kecelakaan itu sehingga menjadi saksi sehingga hari Kiamat. Bukan Abu Lahab seorang diri sahaja malah isterinya juga akan turut serta menerima label penghinaan ini kerana usahanya menghina Nabi saw.

Surah ini walaupun hanya mempunyai 70 huruf, 20 perkataan dan 5 ayat tetapi cukup menjadi peringatan kepada umat manusia supaya jangan menjadi penentang kepada Islam dan Rasulnya. Kesudahan orang yang menentang agama kemungkinan akan disiksa sebagaimana dengan bentuk penghinaa dan siksaan yang dilakukan terhadap kemurnian Islam dan pendokong-pendokongnya. Lihat bagaimana Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil dihina seumpama penghinaan yang dilakukan ke atas Nabi saw. Apakah orang Islam yang tidak mempedulikan suruhan dan larangan agama termasuk di dalam kelompok Abu Lahab dan Ummu Jamil?

Surah ini juga mengingatkan umat Islam kepada perlunya menjaga keluarga daripada tergelincir daripada rel hidayah. Wahyu yang diterima oleh Nabi saw bukanlah anugerah peribadi atau milik persendirian. Malah ianya amanah yang perlu disampaikan kepada manusia keseluruhannya bermula dengan keluarga dan orang yang terdekat.

Mudah-mudah kesah Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil mengingatkan kita akan adanya pembalasan Allah terhadap setiap amalan yang kita lakukan di dunia ini. Setiap amalan samada baik atau buruk akan dibalas setimpal dengannya kerana Allah itu Maha Adil. (petikan dari artikel Zaharudin Nawi utk Exim Bank)

Friday, July 3, 2009

Tazkirah Surah Al-Falaq


Surah Al-Falaq dianggap surah kembar kepada surah An-Nas. Sebab itulah kedua-duanya mempunyai gelaran yang sama dan dinamakan sebagai Mu`awwizatain (yang menjadi pelindung) atau Muqashqishataini (yang membebaskan manusia daripada sifat kemunafikan). Gelaran ini disebut bersama. Ertinya Surah Al-Falaq dan An-Nas disebut serentak sebagai Mu`awwizatain atau Muqashqishataini. Mu`awwizatain kerana ia dibaca sebagai ayat pelindung daripada segala kejahatan. Muqashqishataini kerana ia membebaskan seseorang daripada sifat munafik. Munafik secara zahir mengakui Allah sebagai Tuhan tetapi tidak dengan hati yang tulus. Orang yang membaca surah ini menunjukkan ketulusannya menjadikan Allah sebagai Tuhannya. Ketika membacanya dia seolah-olah mengisytiharkan Allahlah sebagai Tuhannya kerana menjadikanNya sebagai tempat berlindung.

Dalam surah ini Allah mendedahkan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan berdepan dengan kesulitan dalam kehidupan yang akan mereka lalui di dunia ini. Kesulitan dan kepayahan itu adalah termasuk dalam fitrah kehidupan. Fitrah manusia juga memerlukan tempat pergantungan apabila berdepan dengan masalah. Manusia memerlukan tempat mengadu daripada kesulitan yang mereka tempuhi. Sememangnya manusia akan mencari tangan–tangan yang boleh menciptakan `miracle` untuk menyelesaikan masalah yang ia tanggungi. Dengan sebab itu manusia kadang-kadang akan terjerumus dalam kesesatan kerana tersalah memilih `tempat mengadu`. Mereka mengadu kepada pokok-pokok, hantu jembalang, bomoh, dukun, pawang dan sebagainya.

Di dalam surah ini Allah mengajar orang-orang yang beriman supaya menjadikanNya sebagai tempat mengadu dan tempat berlindung daripada segala kejahatan. Allah inginkan manusia merasai keberadaanNya disisi mereka. Allah ingin manusia tahu bahawa sememangnya Allahlah yang berkuasa atas segala sesuatu. Kenapa tidak kerana Allahlah yang menciptakan mereka. Allahlah yang memberi rezeki kepada mereka. Allahlah yang menciptakan malam yang gelap. Kegelapan yang ditakuti. Allahlah yang menciptakan pagi. Pagi yang terang. Pagi yang tenang. Pagi yang ditunggu-tunggu untuk tiba di kala malam mendatangkan kegelisahan. Allahlah yang memberikan kesenangan dan mendatangkan kepayahan kepada mereka. Kesemuanya mengandungi hikmah di sebalik penciptaan. Maka Allahlah tempat yang sepatutnya manusia pinta dikala merasai perlukan perlindungan walaupun kesulitan itu belum lagi berlaku.
Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Tidakkah baginda sentiasa membaca surah An-Nas dan Al-Falaq di kala hendak tidur padahal Allah sentiasa menjaga baginda dan malaikat sentiasa mengawasi baginda. Rasulullah saw mengamalkannya di kala sihat maupun di kala uzur. Malah Nabi saw mengajar sahabat-sahabat baginda untuk berbuat demikian. Rasulullah saw juga membaca surah ini di dalam solat-solatnya. Solat fardu maupun solat sunat. Lihatlah bagaimana Nabi saw menjadikan hidupnya sebagai Quran yang bergerak di bumi.
Di dalam surah ini Allah mendedahkan kepada manusia bahawa terdapat tiga jenis kejahatan yang biasanya melanda manusia.
1. kejahatan yang melibatkan waktu… spt waktu malam.
2. kejahatan yang melibatkan profession tertentu..spt tukang sihir.
3. kejahatan yang melibatkan sifat tertentu… spt sifat hasad.

Dalam ketiga-tiga kejahatan ini kejahatan yang menyentuh permasalahan sifat melibatkan setiap diri manusia. Di antara sifat itu ialah dengki.

Setiap orang tidak terlepas daripada sifat dengki. Ini adalah kerana dalam kehidupan, manusia tidak terlepas daripada bersingkap angkuh sehingga merasakan apa yang dimiliki oleh orang lain tidak wajar. Malah berpendapat dia sahaja yang layak memilikinya. Sikap ini adalah punca terjadinya hasad dengki.

Manusia juga tidak akan terlepas daripada dunia persaingan dalam karier kehidupannya. Persaingan akan mewujudkan sifat hasad. Ia lama kelamaan akan timbul apabila tidak dapat menyaingi pihak yang disaingi. Begitu juga perasaan takut yang tidak bertempat juga boleh menimbulkan sifat hasad. Cinta yang amat sangat kepada kekuasaan, pangkat, jawatan, title dan sebagainya juga mengundang bibit kehasadan. Manusia juga tidak akan terlepas daripada berdepan dengan orang yang sememangnya mempunyai sifat hasad yang sudah bersebati dengan jiwa mereka seperti orang-orang Yahudi yang selama-lamanya memusuhi Islam kerana dengki dengan pemilihan Rasul akhir zaman bukan dari kalangan mereka.

Oleh itu marilah sama-sama kita berlindung dengan Allah daripada segala kejahatan samada yang nampak atau yang tidak nampak. Samada yang ada pada diri kita atau pada orang lain. Samada pada manusia atau makhluk yang lain. Mudahan-mudahan surah ini menjadi pedoman untuk kita hidup di bawah naugan Al-Quran. (petikan daripada artikel zaharudin Nawi utk Exim Bank)

Thursday, June 18, 2009

Tazkirah Surah An Nas

Sudah menjadi fitrah Allah menjadikan manusia dan menghidupkannya di atas muka bumi ini untuk diuji. Setiap manusia merasai bahawa kehidupannya diwarnai dengan bermacam-macam masalah. Kadang-kadang sesuatu yang baik diterima oleh kita hari ini rupa-rupanya ia mendatangkan masalah kepada kita di kemudian hari. Sesiapa pun tidak akan terlepas daripada ujian ini termasuklah para nabi-nabi dan rasul-rasul. Tribulasi kehidupan manusia yang paling besar ialah apabila ia diganggu oleh musuh yang ia tidak nampak. Iaitu gangguan jin dan syaitan. Jin dan syaitan sentiasa menganggu manusia untuk berbuat kejahatan. Di antara rasukan mereka yang paling besar ialah apabila mereka berjaya menguasai hawa nafsu manusia.

Lihatlah bagaimana Bushiri dalam syair Burdahnya menyifatkan hakikat nafsu:
"Nafsu bagaikan bayi. Jika engkau biarkan ia terus menyusu ia akan membesar suka untuk sentiasa disusukan. Jika kamu halang-halanginya maka dia tidak akan meminta lagi untuk terus menyusu".

Hasil daripada pengalaman ulama mengkaji tabiat bisikan syaitan ke dalam jiwa manusia mereka telah menemui beberapa pintu yang sering digunakan oleh syaitan untuk melaksanakan misi mereka itu. Di antara pintu yang selalu digunakan oleh syaitan untuk membisikan kejahatan kepada manusia dan cara-cara menutupinya sebagaimana yang disebut oleh Muhammad Quraish Shihab dalam kitab tafsirnya adalah seperti berikut:
a) Cita-cita yang berlebihan dan berperangsangka buruk terhadap Tuhan. Tabiat ini akan melahirkan budaya tamak dan kedekut. Pintu ini dapat ditutup dengan menyakini sifat kepemurahan Allah SWT serta berpuas hati dengan rezeki halal yang diusahakan sekadar kemampuan yang Allah berikan.

b) Terlalu mencintai dunia. Pintu bisikan buruk ini dapat dihindari dengan bersikap zuhud dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah sementara. Berapa ramai kita melihat orang yang kaya, berkuasa, terkenal atau cantik pada hari ini tiba-tiba apa yang mereka miliki hilang dalam sekelip mata sahaja.

c) Merasai lebih daripada orang lain. Syaitan sentiasa membisikkan ke dalam hati manusia supaya merasakan bahawa apa yang dilakukannya adalah benar dan baik belaka. Pintu was-was ini boleh ditutup dengan suatu kesedaran bahawa segala amalan kita akan dinilai oleh Allah SWT dan penilaian terhadap amalan manusia bukan berdasarkan apa yang dilakukan hari ini malah di akhir usianya.

d) Memperkecilkan dosa atau kebaikan. Dengan pemahaman sebegini manusia akan terus melakukan dosa dengan alasan ianya hanyalah dosa kecil. Manusia tidak mahu mematuhi perintah Allah dan berbuat kebaikan dengan alasan malu kerana amalan itu tidak termasuk apa yang disanjung oleh golongan elit. Pintu yang bahaya ini boleh ditutup dengan menyedarai bahawa kepada siapa dosa yang dia sedang lakukan. Tidakkah kepada Allah?. Manakala sikap memperkecilkan suruhan agama dapat dibendung dengan menyedari bahawa amalan tidak dinilai pada bentuknya tetapi dinilai dengan niat dan keikhlasan. Amalan agama yang kecil akan menjadi besar jika niatnya diterima oleh Allah SWT.

e) Riya`, ingin selalu dipuji, baik diwaktu melakukan pekerjaan tersebut maupun sesudahnya. Pintu ini dapat ditutupi dengan serapat-rapatnya dengan menyedari bahawa Allah tidak akan menerima amalan yang disertai dengan riya` dan takabbur.

Bagi mereka yang taat kepada Allah maka syaitan akan mengoda mereka dengan dorongan agar meninggalkan amalan-amalan sunat dengan berbagai-bagai dalih dan alasan, misalnya terlalu letih. Syaitan juga akan menganggu konsentrasi mereka di saat melakukan ibadah dan juga menimbulkan bermacam-macam fikiran yang boleh mengurangkan nilai amal ibadahnya.

Oleh kerana Allah yang menciptakan Jin dan Syaitan maka Allahlah yang mengetahui tipu daya mereka. Dengan sifatNya sebagai Rab, Yang menyayangi hamba-hambaNya, Malik, Raja yang menguasai segala sesuatu, Allah mendedahkan kejahatan musuh manusia dan mengajar manusia supaya sentiasa meminta perlindungan denganNya. Dengan itu Allah menurunkan surah An Nas membekalkan kepada manusia perisai untuk mempertahankan diri daripada bisikan kejahatan jin, syaitan dan kuncu-kuncunya daripada kalangan manusia.

Allah mengajar manusia agar sentiasa membaca surah ini untuk dijadikan pelindung. Allah juga mengajar kita agar memperbanyakkan mengingatiNya dengan membaca zikir, menunaikan perintah-perintahNya serta mengakui bahawa kita manusia teralu kerdil dihadapanNya. Hal-hal yang sebeginilah seharusnya kita sedari apabila membaca surah An Nas. Moga-moga dengan mempertimbangkan perkara yang disebutkan ini permohonan kita untuk meminta pertolongan Allah akan dimakbulkan. Ameen. (petikan daripada artikel Zaharudin Nawi utk Exim Bank)