Islamic Widget

PEMBACA

Saturday, April 3, 2010

HIJAB YANG TEBAL

Detik 9.30 malam, 2 April 2010 adalah hari pertama saya menghadiri usrah Muslimat....Setelah sekian lama saya tidak ber"usrah", akhirnya Allah memberikan kekuatan untuk saya memulakan kembali usrah. Satu matlamat utama saya ketika hadir usrah tersebut adalah untuk belajar, bukan mengajar. Saya berazam hanya mahu mendengar dan memahami. Majlis yang dihadiri 5 orang Muslimat yang lebih tua daripada saya telah bermula mungkin seawal jam 9 malam.Tajuk yang dibincang adalah berkaitan halangan dalaman dan luaran untuk khusyuk dalam solat. Mereka menggunakan buku "Khusyuk dalam Solat" oleh Dato' Nik Aziz Nik Mat sebagai panduan. Saya satu-satunya yang tidak memiliki buku tersebut...InsyaAllah saya akan membelinya secepat mungkin.

Sesekali kak Ani ketua usrah meminta pandangan saya. Saya hanya tersenyum. Begitu juga dengan kakak lain yang meminta saya memberikan buah fikiran. Maklumlah, saya orang yang belajar agama, sedangkan mereka orang "awam biasa" yang bergiat dalam politik dan istiqamah dalam usrah. Justeru, mereka mahukan penjelasan lanjut daripada orang yang mendalami agama.

Hati kecil saya berbisik yang saya tak layak berbicara soal ini. Saya tidak khusuyk solat. Apatah lagi seringkali solat saya dalam keadaan tergesa-gesa dek karenah anak-anak kecil saya. Si abang sering menarik telekung dan naik atas belakang. Si adik selalu bergantung-gantungan....Hati saya tidak khusyuk....Tapi tanpa sebab ini pun hati saya tidak khusyuk....Justeru, saya selalu menolak untuk menjadi imam jika sembahyang berjemaah bersama kawan-kawan.

Namun, atas permintaan kakak-kakak usrah, akhirnya saya terpaksa membuka bicara. Kesimpulan yang saya berikan adalah kunci khusyuk solat terletak pada hati. hati yang bersih lagi suci murni dapat memberikan ketenangan dan kekhusyukan dalam solat. Saya sendiri sedang belajar dan berusaha kearah itu.

Sementelah, ada seorang rakan yang mengakui dikurniakan "ilmu hakikat" mengatakan yang hati saya ada hijab tebal yang melindungi "nur" masuk kedalam hati. Terima kasih saya ucapkan kepadanya, tetapi tanpa pemberitahuannya saya sedar dan kenal siapa diri saya. ...hanyalah seorang yang memiliki hati yang perlu disucikan....Lantaran itu, saya tidak layak bercakap apa yang tidak dapat saya buat (khusyuk dalam solat).

Saya tidak memerlukan orang lain memberitahu saya bahawa hati saya kotor atau ada hijab kerana saya sendiri mengenali diri saya dan merasai apa yang dirasai oleh sekeping hati saya. Saya hanya perlukan murabbi untuk membimbing saya. Saya hanya perlukan kekuatan untuk menyucikan jiwa dan membuang sifat2 mazmumah. Dan segala kemahuan saya, saya hanya perlu pinta daripada Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dialah Tuhan Yang Esa, Yang Maha Pengampun dosa hambaNya yang lemah ini.

Tuhan...kurniakanku hati yang bersih. Ampuni dosa-dosaku Ya Rabb. Dosaku tidak terhitung tapi rahmatMu amat luas buat hambaMu.

No comments: