Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
(Sumber: http://mforum.cari.com.my/archiver/?tid-183609-page-2.html)
BATUK adalah keluhan yang kerap membawa pesakit berjumpa doktor. Selalunya batuk akan hilang dengan sendirinya selepas lebih kurang seminggu. Ia juga kerap berlaku semasa seseorang mengalami selesema.
Batuk sebenarnya merupakan petanda baik bahawa badan kita berfungsi dengan normal. Ia adalah cara badan bertindak balas mempertahan dan melegakan dirinya daripada bahan-bahan perengsa yang tersekat di dalam saluran pernafasan.
Kebelakangan ini berlaku peningkatan kes demam dan batuk yang dirawat di klinik-klinik dan hospital. Ini mungkin disebabkan oleh keadaan cuaca sekarang hujan dan panas yang tidak menentu.
Batuk adalah satu gejala atau simptom yang disebabkan oleh permasalahan berkaitan saluran pernafasan, paru-paru atau jantung.
Batuk yang berserta dengan demam biasanya disebabkan oleh jangkitan pada sistem pernafasan. Jangkitan biasanya disebabkan oleh virus atau bakteria, ujar Kol (B) Dr. Abd. Rahman Mohd. Ali.
Pakar Runding Perubatan dan Kardiologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam, Selangor itu memberitahu, ada dua jenis batuk iaitu batuk yang kering atau juga dikenali sebagai batuk tidak produktif dan batuk yang berkahak (produktif).
Batuk kering biasanya disebabkan oleh iritasi atau radangan saluran pernafasan seperti radang tonsil, radang kerongkong (faringitis), radang trakea atau bronkus (bronkitis).
Manakala batuk yang berkahak biasanya dikaitkan dengan radang paru-paru (pneumonia), radang bronkus (bronkitis) dan paru-paru berair (edema pulomonari).
Menurut Dr. Abd. Rahman, pembentukan kahak adalah proses normal sel-sel kahak di saluran pernafasan untuk melembapkan dinding saluran pernafasan.
Ia juga bertujuan memerangkap debu dan partikel kuman yang memasuki saluran pernafasan sebelum disingkirkan keluar melalui suatu bentuk hembusan keras iaitu batuk.
Bagaimanapun, tindak balas ini menjadi berlebihan dan mengeluarkan kahak yang banyak bila berlaku iritasi atau jangkitan pada saluran pernafasan, jelas beliau.
Tambahnya, kahak yang banyak ini merangsangkan batuk.
Warna kahak, kata Dr. Abd. Rahman, biasanya putih. Bila radangan saluran pernafasan disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria, ia akan bertukar menjadi kekuning-kuningan, hijau atau karat.
Ada kalanya kahak itu berdarah (hemoptysis). Ini biasanya berpunca daripada kecederaan dinding saluran pernafasan, radang paru-paru atau ketumbuhan.
Sempena kita berada di dalam bulan Ramadan, ubat-ubat yang diberikan bolehlah diambil selepas berbuka hingga sahur, mengikut sukatan yang diberikan.
Tetapi jika batuk agak teruk dan memerlukan pengambilan ubat waktu siang, pesakit dinasihatkan tidak berpuasa.
Ini kerana, kata Dr. Abd. Rahman, disebabkan oleh tidak minum air semasa berpuasa pada waktu siang, kahak menjadi lebih pekat dan susah dikeluarkan.
Akibatnya, ia akan memanjangkan batuk pesakit. Jadi dinasihatkan untuk minum air yang banyak pada waktu sahur dan sesudah berbuka. Ini turut membantu meredakan demam.
Bagi pesakit yang menghidapi batuk dan demam yang berlarutan lebih dua minggu lamanya, nasihat beliau, mereka perlu membuat pemeriksaan lanjut.
Doktor akan melakukan ujian lanjutan untuk mengenal pasti punca batuk. Pemeriksaan lanjutan merangkumi sinar-X dada, pemeriksaan kahak, ujian fungsi pernafasan serta pemeriksaan darah. Rawatan
ADALAH diingatkan, ubat batuk tidak merawat punca batuk, ia hanya melegakan batuk. Apabila seseorang mengalami batuk dan demam, adalah disarankan agar mereka berjumpa dengan doktor, yang akan menentukan punca batuk dan rawatan sewajarnya.
Terdapat dua jenis ubat batuk iaitu untuk menghentikan batuk (supresan batuk) dan untuk merangsang dan mencairkan kahak atau mukus (perangsang batuk).
Lazimnya, doktor akan memberikan supresan batuk jika batuk itu kering dan menyebabkan rasa sakit di dada semasa batuk.
Ubat ini dapat mengurangkan desakan untuk batuk dengan menyekat pusat kawalan batuk di dalam otak.
Sementara itu, jika batuk berkahak dan kahak susah dikeluarkan, doktor akan memberikan perangsang batuk atau mucolator.
Dengan ini, ia akan membantu membersihkan saluran udara dari sebarang perengsa bagi memudahkan kahak dibatuk keluar.
Sesetengah ubat batuk mengandungi kedua-dua supresan dan perangsang. Supresan mengurangkan kekerapan batuk manakala perangsang menolong mencairkan mukus.
Apabila digabungkan kedua-dua ramuan ini, ia akan membuat batuk anda lebih produktif dengan mengeluarkan lebih banyak kahak dan mukus, menjadikan anda terasa lebih selesa.
Lain-lain rawatan
- Ubat hisap (gula-gula berubat) hanya memberikan kelegaan pada kerongkong.
- Ubat bronkodilator akan digunakan apabila didapati ada penyempitan saluran pernafasan seperti yang berlaku pada pesakit asma dan bronkitis. Ubat ini akan mengembangkan saluran pernafasan dan akan melegakan batuk.
- Sedut wap bermentol untuk melembapkan dinding saluran pernafasan. Kristal mentol dimasukkan ke dalam air panas dan pesakit diminta menyedut wapnya melalui mulut.
- Antibiotik akan diberikan sekiranya batuk itu didapati berpunca daripada jangkitan bakteria.
Punca batuk berlarutan
- Radang paru-paru (pneumonia)
- Penyakit tuberkulosis (TB) paru-paru
- Jangkitan kuman atipikal
- Jangkitan kulat di paru-paru
- Paru-paru bernanah
- Lelah (asma) yang belum dikenal pasti sebelumnya
- Penyakit Penyempitan saluran pernafasan yang kronik (COPD)
- Ketumbuhan (Kanser paru-paru, kerongkong atau bronki)
- Paru-paru berair disebabkan oleh kegagalan jantung
- Penyakit refluks gastroesofageal (GERD)
Jika batuk dan demam tidak dirawat pada peringkat awal, ia boleh mengakibatkan komplikasi seperti septisemia di mana kuman merebak ke dalam saluran darah.
Pesakit juga akan mengalami kegagalan fungsi pernafasan, kegagalan organ-organ lain seperti buah pinggang, jantung dan hati sehingga boleh membawa maut.
Oleh itu, adalah penting, jika mengalami batuk dan demam yang berlarutan segeralah berjumpa dengan pakar perubatan untuk mendapatkan rawatan.
Amalan membeli ubat batuk dari kedai ubat atau farmasi tanpa mendapat nasihat daripada pengamal perubatan boleh memudaratkan keadaan.
Pencegahan
Kebanyakan punca batuk dan demam adalah disebabkan oleh jangkitan kuman sama ada kuman virus atau bakteria yang merebak melalui udara.
Contohnya, apabila seseorang penghidap jangkitan paru-paru batuk atau meludah di tempat-tempat awam, dia akan batuk keluar kuman ke udara dalam bentuk titisan air liur.
Titisan ini kemudiannya akan dihidu oleh orang lain yang berada di sekitarnya dan berpotensi untuk menjangkiti kuman tadi.
Oleh itu adalah menjadi amalan yang baik bila kita mempunyai jangkitan saluran pernafasan agar tidak meludah merata-rata, jangan pergi ke kawasan keramaian serta, menutup mulut dan hidung bila batuk di kawasan awam.
Begitu juga jika ada sesuatu wabak berlaku, orang awam tidak digalakkan pergi ke kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.
Ada vaksin yang boleh diambil untuk mencegah kita daripada dijangkiti oleh kuman virus tertentu seperti vaksin pneumokokus yang disyorkan kepada bakal-bakal jemaah haji.
Tip pengurusan sendiri batuk
- Sebelum mengambil sebarang ubat batuk, pastikan anda tidak alah kepada mana-mana ramuan yang terkandung di dalam ubat tersebut.
Kebanyakan persediaan adalah dalam bentuk sirap yang mengandungi gula. Kalau boleh, pesakit diabetes harus mengelakkan pengambilannya.
Ada sesetengah ubat batuk mengandungi pseudoephedrine yang boleh menambah tekanan darah. Justeru, pesakit tekanan darah tinggi tidak digalakkan mengambil ubat jenis ini.
- Patuhi arahan ubat yang diberikan oleh doktor mengikut jadual terutamanya antibiotik.
- Untuk batuk yang produktif (batuk yang mengeluarkan mukus) minumlah lebih banyak air terutamanya air suam, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari kerana air dapat mencairkan mukus dan melegakan sakit tekak. Mandi dengan air panas kerana wap dapat mencairkan mukus.
- Untuk batuk bukan produktif (batuk kering), banyakkan minum air atau, minum minuman panas seperti teh limau dan madu untuk melegakan tekak.
Anda juga boleh mencampurkan satu bahagian jus limau dengan dua bahagian madu. Jangan berikannya kepada kanak-kanak di bawah umur 1 tahun.
- Elakkan daripada makanan berminyak.
- Banyakkan memakan sayur-sayuran.
- Ambil vitamin C tambahan.
- Jika batuk itu kering dan kahak pekat, amalkan menyedut wap bermentol.
Berjumpa doktor sekiranya
- Gejala berterusan lebih seminggu.
- Batuk menjadi semakin teruk.
- Batuk diikuti dengan bunyi ronkus, demam, berpeluh pada sebelah malam, mengalami penurunan berat badan atau terdapat darah di dalam mukus.
1 comment:
Assalamualaikum...
Saya di sini adalah utk menghulurkan sedikit bantuan berupa tips bagi menolong para pesakit yg terkena simptom2 seperti migrain, batuk berkahak, selsema, hidung tersumbat dn gatal. Info lanjut ada di:
Merawat masalah demam, gatal hidung, muka, mata dan selsema
Semoga penyakit sembuh. Tq.
Post a Comment