Surah Bayyinah
لَمْ يَكُنِ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّى تَأْتِيَهُمُ الْبَيِّنَةُ* رَسُولٌ مِّنَ اللَّهِ يَتْلُو صُحُفاً مُّطَهَّرَةً* فِيهَا كُتُبٌ قَيِّمَةٌ* وَمَا تَفَرَّقَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءتْهُمُ الْبَيِّنَةُ* وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ* إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا أُوْلَئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ* إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُوْلَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ* جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ذَلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ* 
Surah Bayyinah diturunkan di Madinah menurut majoriti ulama mufassir. Ia juga merupakan pandangan Ibn Abbas.  Surah ini mengandungi lapan ayat.  Di antara intisari kandungan surah ini ialah:
- Mendedahkan sikap orang kafir samada      musyrikin maupun ahli kitab yang selama ini menunggu-nunggu kedatangan bayyinah      (penjelas, bukti) tetapi apabila datangnya bayyinah mereka tetap      dengan kekufuran. Hal ini ditafsirkan oleh ayat  dalam surah Al-Baqarah, 89, فَلَمَّا جَاءهُم مَّا عَرَفُواْ كَفَرُواْ بِهِ Apabila      datang kepada mereka apa yang mereka sudahpun tahu mereka kufur dengannya. Bayyinah yang dimaksudkan ialah      Nabi saw sendiri kerana apa yang baginda miliki samada akhlak, mukjizat      dan kerohanian semuanya merupakan tanda kebenaran.
- Apa yang dibawa oleh Nabi saw berupa suhuf       samada lembarannya, risalahnya,      surahnya maupun kitab Al Quran keseluruhannya, suci daripada sebarang      keraguan [صُحُفاً      مُّطَهَّرَةً]. Maksud suci di sini ialah ia      bebas daripada sebarang bentuk tahrif (penyelewangan), tabdil      (penukaran), fahsh (فَحْشٌ , perkara yang tidak sopan) dan sebarang kecacatan. Sifat      suci suhuf yang dibawa oleh Nabi saw itu juga merupakan tamparan kepada      ahli kitab bahawa kitab suci yang mereka miliki selama ini sebenarnya      tidak lagi suci dan penuh dengan segala macam keraguan dan kecacatan.
- Surah      ini juga menerangkan tentang standard atau neraca ukuran sebuah      kitab yang layak dikatakan samawi. Ia harus suci (مُّطَهَّرَةً), mengandungi hukum hakam dan      petunjuk (كُتُبٌ) serta lurus dan dapat      diterima oleh akal yang sejahtera (قَيِّمَةٌ).  Kesemua ciri-ciri ini dimiliki      oleh Al-Quran. Maka      tiada sebab manusia menolaknya atau tidak mempedulikannya.
- Ajaran      kitab samawi menekankan hak yang perlu dilakukan oleh manusia selaku hamba      Allah iaitu hak melakukan ibadah kepadaNya (وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ) sebagaimana firman Allah di      tempat lain "Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan untuk      mereka menyembah aku"  (Az      Zariyat 56)
- Sementara      konsep ibadah kepada Allah hanya mementingkan nilai, yang disebut sebagai ikhlas      (مُخْلِصِينَ), yang bebas daripada segala bentuk kesyirikan.  Ikhlas menolak syirik jali (jelas)      dan syirik khafi (tersembunyi). Contoh syirik jali ialah      konsep trinity dalam Kristian dan konsep penyembahan berhala      sebagai simbol ketuhanan dalam agama-agama yang menyembah berhala. Contoh syirik      khafi ialah riak, menunjuk-nunjuk dan tidak khusyuk.      Konsep ibadah juga mementingkan nilai kelurusan (حُنَفَاء). Kelurusan yang dimaksudkan ialah kelurusan yang tidak      berpaling kepada sebarang bentuk kebatilan, kejahilan dan kefasadan. Ia      seperti kelurusan Nabi Ibrahim as yang mematuhi segala perintah Allah swt      walaupun melibatkan nyawa orang yang tersayang. Sifat hunafa ialah      ciri-ciri  agama Ibrahimi. Maka      tiada sebab musyrikin Mekah dan ahli kitab menolak Islam kerana mereka      semua mendakwa mempunyai hubungan dengan Nabi Ibrahim. Ia juga menjadi      peringatan kepada orang Islam sendiri bahawa mereka haruslah menerima      agama ini dengan penuh keikhlasan dan kelurusan.
- Tasawwur      ibadah seperti yang  disebutkan di      dalam surah ini merupakan asas penting yang membezakan ianya dengan agama-agama      lain. Tasawwur ibadah yang difokuskan ialah penekanan ke atas hak Tuhan      dah hak makhluk. Hak Allah ialah melakukan peribadatan kepada Allah yang diterangkan      oleh ayat (وَيُقِيمُوا      الصَّلَاةَ).      Manakala hak makhluk ditujuki oleh ayat yang mengarahkan mengeluarkan      zakat  (وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ).  Seorang muslim yang baik ialah muslim      yang menjaga hubungannya dengan Tuhan penciptanya dan menjaga maslahah      atau kepentingan hidup sejagat. Zakat merupakan konsep ekonomi untuk      membantu golongan yang lemah. Kedua-dua iaitu solat dan  pengeluaran harta untuk golongan yang memerlukannya      adalah asas agama samawi. Malah Nabi saw tidak membawa ajaran baru.      Sepatutnya ianya menjadi ikutan di sepanjang zaman.
- Ukuran      kemulian seseorang di sisi Allah swt ialah keimanan dan perbuatan amal      soleh (إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا      وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُوْلَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ). Oleh itu manusia yang buruk      dan jahat di sisi Allah swt ialah yang tidak beriman dan tidak melakukan      amalan soleh (إِنَّ الَّذِينَ      كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ      خَالِدِينَ فِيهَا أُوْلَئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ). Allah swt tidak pernah mengangkat ketinggian      suatu bangsa di sisiNya kerana darah yang dimiliki oleh bangsa itu. Tetapi      kerana nilai kemulian yang dimiliki oleh mereka. Kemulian bukan diukur      melalui sangkaan semata-mata. Yahudi menyangka merekalah kaum yang dipilih      oleh Tuhan biar zalim sekalipun perbuatan mereka. Kristian menyangka dengan      mengakui ketuhanan Jesus sahaja sudah cukup untuk mendapat tempat di sisi      Tuhan dan berhak diampun dosanya biarpun mereka hidup penuh dengan dosa. Brahmin      dalam ajaran Hindu menyangka jika dilahirkan sebagai Brahmin maka      selama-lamanya mereka akan mulia dan mengatasi kasta-kasta yang lain. Begitulah      halnya dengan bangsa Aryan dahulu kala. 
- Pendedahan      Al-Quran terhadap sesuatu tidak sunyi dari mencelahkan kenyataan kesudahan      manusia nanti. Mereka yang patuh dan taat kepada perintahNya akan kekal      abadi di dalam syurga. Sebaliknya mereka yang kufur kepadaNya akan kekal      di dalam neraka selama-lamanya. 
 
 
 
No comments:
Post a Comment