Ruj. Kami : Jakim(2.00)/8/3 Jld. 3(34)
Tarikh : 4 Januari 2010
KENYATAAN MEDIA
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Berkenaan Keputusan Mahkamah Tinggi Mengenai Penggunaan Kalimah Allah
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berpandangan TS Murphy Pakiam Archbishop Roman Catholic Kuala Lumpur harus mengguna kebijaksanaannya agar tidak menggunakan lafaz Allah dalam sebarang bahan terbitan pihaknya atau lain-lain. Selain dari kes ini belum muktamad dan masih dalam proses kehakiman, sensitiviti umat Islam dan martabat Islam dalam Perlembagaan Persekutuan wajib diambil kira. Kita sama-sama bertanggungjawab menyekat ruang bagi kelompok ekstremis bergerak dalam pertubuhan agama masing-masing. Pengalaman di India di mana pelampau Hindu membakar gereja dan masjid harus dijadikan iktibar. Keharmonian yang sedia wujud di Malaysia perlu dihargai bersama. Nasihat Y.A.B. Perdana Menteri perlu kita beri perhatian bersama.
2. JAKIM hairan kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, agama Islam adalah satu-satunya nama agama yang disebut tetapi kelihatan agama lain yang lebih diraikan.
3. Islam sebagai Agama Persekutuan di negara ini perlu dijunjung dan dihormati oleh semua sebagaimana S.P.B. Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Negara perlu ditaati oleh semua. Begitu juga kedudukan Raja-Raja yang menjadi Raja bagi seluruh rakyat jelatanya dan bukan untuk kaum-kaum tertentu.
4. Inilah realiti Malaysia yang perlu difahami semua, pengundi yang tidak pernah seumur hidupnya mengundi parti pimpinan Perdana Menteri mesti menerima kenyataan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua.
5. Sehubungan itu, saya menasihati semua pihak agar memahami dan menghayati realiti serta menjunjung semangat Perlembagaan di negara Malaysia, Islam tetap agama negara yang dimartabatkan oleh Perlembagaan Persekutuan walaupun anda tidak menganutnya.
6. Sementara itu bagi umat Islam, apapun pandangan penganut lain tentang lafaz Allah, ia adalah lafaz suci yang merujuk kepada tuhan yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan.
7. Oleh itu, sukacita dipohon pihak media dapat memaklumkan perkara ini kepada masyarakat.
Sekian, terima kasih.
BERKHIDMAT UNTUK NEGARA
Saya yang menurut perintah,
DATO’ HAJI WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ
No comments:
Post a Comment