Islamic Widget

PEMBACA

Tuesday, January 19, 2010

Ayat-ayat Allah: Tazkirah Surah Al-Falaq

Tazkirah Surah Al-Falaq

Surah Al-Falaq dianggap surah kembar kepada surah An-Nas. Sebab itulah kedua-duanya mempunyai gelaran yang sama dan dinamakan sebagai Mu`awwizatain (yang menjadi pelindung) atau Muqashqishataini (yang membebaskan manusia daripada sifat kemunafikan). Gelaran ini disebut bersama. Ertinya Surah Al-Falaq dan An-Nas disebut serentak sebagai Mu`awwizatain atau Muqashqishataini. Mu`awwizatain kerana ia dibaca sebagai ayat pelindung daripada segala kejahatan. Muqashqishataini kerana ia membebaskan seseorang daripada sifat munafik. Munafik secara zahir mengakui Allah sebagai Tuhan tetapi tidak dengan hati yang tulus. Orang yang membaca surah ini menunjukkan ketulusannya menjadikan Allah sebagai Tuhannya. Ketika membacanya dia seolah-olah mengisytiharkan Allahlah sebagai Tuhannya kerana menjadikanNya sebagai tempat berlindung.

Dalam surah ini Allah mendedahkan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan berdepan dengan kesulitan dalam kehidupan yang akan mereka lalui di dunia ini. Kesulitan dan kepayahan itu adalah termasuk dalam fitrah kehidupan. Fitrah manusia juga memerlukan tempat pergantungan apabila berdepan dengan masalah. Manusia memerlukan tempat mengadu daripada kesulitan yang mereka tempuhi. Sememangnya manusia akan mencari tangan–tangan yang boleh menciptakan `miracle` untuk menyelesaikan masalah yang ia tanggungi. Dengan sebab itu manusia kadang-kadang akan terjerumus dalam kesesatan kerana tersalah memilih `tempat mengadu`. Mereka mengadu kepada pokok-pokok, hantu jembalang, bomoh, dukun, pawang dan sebagainya.

Di dalam surah ini Allah mengajar orang-orang yang beriman supaya menjadikanNya sebagai tempat mengadu dan tempat berlindung daripada segala kejahatan. Allah inginkan manusia merasai keberadaanNya disisi mereka. Allah ingin manusia tahu bahawa sememangnya Allahlah yang berkuasa atas segala sesuatu. Kenapa tidak kerana Allahlah yang menciptakan mereka. Allahlah yang memberi rezeki kepada mereka. Allahlah yang menciptakan malam yang gelap. Kegelapan yang ditakuti. Allahlah yang menciptakan pagi. Pagi yang terang. Pagi yang tenang. Pagi yang ditunggu-tunggu untuk tiba di kala malam mendatangkan kegelisahan. Allahlah yang memberikan kesenangan dan mendatangkan kepayahan kepada mereka. Kesemuanya mengandungi hikmah di sebalik penciptaan. Maka Allahlah tempat yang sepatutnya manusia pinta dikala merasai perlukan perlindungan walaupun kesulitan itu belum lagi berlaku.
Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Tidakkah baginda sentiasa membaca surah An-Nas dan Al-Falaq di kala hendak tidur padahal Allah sentiasa menjaga baginda dan malaikat sentiasa mengawasi baginda. Rasulullah saw mengamalkannya di kala sihat maupun di kala uzur. Malah Nabi saw mengajar sahabat-sahabat baginda untuk berbuat demikian. Rasulullah saw juga membaca surah ini di dalam solat-solatnya. Solat fardu maupun solat sunat. Lihatlah bagaimana Nabi saw menjadikan hidupnya sebagai Quran yang bergerak di bumi.
Di dalam surah ini Allah mendedahkan kepada manusia bahawa terdapat tiga jenis kejahatan yang biasanya melanda manusia.
1. kejahatan yang melibatkan waktu… spt waktu malam.
2. kejahatan yang melibatkan profession tertentu..spt tukang sihir.
3. kejahatan yang melibatkan sifat tertentu… spt sifat hasad.

Dalam ketiga-tiga kejahatan ini kejahatan yang menyentuh permasalahan sifat melibatkan setiap diri manusia. Di antara sifat itu ialah dengki.

Setiap orang tidak terlepas daripada sifat dengki. Ini adalah kerana dalam kehidupan, manusia tidak terlepas daripada bersingkap angkuh sehingga merasakan apa yang dimiliki oleh orang lain tidak wajar. Malah berpendapat dia sahaja yang layak memilikinya. Sikap ini adalah punca terjadinya hasad dengki.

Manusia juga tidak akan terlepas daripada dunia persaingan dalam karier kehidupannya. Persaingan akan mewujudkan sifat hasad. Ia lama kelamaan akan timbul apabila tidak dapat menyaingi pihak yang disaingi. Begitu juga perasaan takut yang tidak bertempat juga boleh menimbulkan sifat hasad. Cinta yang amat sangat kepada kekuasaan, pangkat, jawatan, title dan sebagainya juga mengundang bibit kehasadan. Manusia juga tidak akan terlepas daripada berdepan dengan orang yang sememangnya mempunyai sifat hasad yang sudah bersebati dengan jiwa mereka seperti orang-orang Yahudi yang selama-lamanya memusuhi Islam kerana dengki dengan pemilihan Rasul akhir zaman bukan dari kalangan mereka.

Oleh itu marilah sama-sama kita berlindung dengan Allah daripada segala kejahatan samada yang nampak atau yang tidak nampak. Samada yang ada pada diri kita atau pada orang lain. Samada pada manusia atau makhluk yang lain. Mudahan-mudahan surah ini menjadi pedoman untuk kita hidup di bawah naungan Al-Quran.

1 comment:

Anonymous said...

salam

saya baru sja membaca artikel ini.sy punya masalah dengan jiran sebelah rumah yang asyik meminta sesuatu dari kami,contohnya wang, padahal yang dia sgt kedekut,dan dia juga punya hasad yang tak boleh lihat kami senang.pasti surah ini membantu.