Islamic Widget

PEMBACA

Saturday, July 25, 2009

Sinopsis Perkembangan Ulum Hadis

Untuk membayangkan perkembangan Ilmu Hadis, kita boleh ibaratkannya secara fizikal dengan perkembangan seorang bayi atau sebiji benih. Bayi atau benih yang normal akan berkembang dan mempunyai anggota-anggota atau bahagian-bahagian tertentu.

Ilmu Hadis bermula sejak zaman Rasululullah SAW diutuskan. Ia boleh dikatakan sebagai benih permulaan yang ditanam ditanah yang subur. Al-Quran melalui firman Tuhan menyuburkan lagi benih ilmu ini. Allah telah menegaskan bahawa apabila datang kepada seseorang khabar berita daripada seorang fasiq (yang kurang ketaatan dalam agama), hendaklah orang itu menyelidik khabar berita itu sebelum mempercayainya. (sila rujuk Surah al-Hujurat: ayat 6). Selain itu, Allah juga meletakkan beberapa kaedah yang lain berkaitan sesuatu khabar berita; iaitu hendaklah dipastikan kebenaranya (sila rujuk Surah at-Taubah:ayat 119), larangan menyampaikan berita palsu (sila rujuk Surah an-Nahl: ayat 105), dan larangan mendengar berita bohong (sila rujuk Surah an-Nisa': ayat 140).

Perlu ditekankan bahawa semasa hayat Nabi, Sahabat-Sahabat baginda berpeluang menyelesaikan masalah berkaitan kehidupan dan agama secara langsung urusannya dengan Nabi kita Muhammad SAW. Justeru, tidak timbul persoalan yang rumit atau kekeliruan yang kompleks kerana semua masalah ada jawapanya secara langsung dari sumber wahyu (kerana wahyu terhenti penurunannya selepas kewafatan Baginda dan Rasulullah tidak mengatakan sesuatu mengikut hawa-nafsunya seperti insan biasa).

Namun, apabila Rasulullah wafat, Sahabat-Sahabat baginda amat berhati-hati dalam meriwayatkan Hadis kerana mereka bimbang apa yang diriwayatkan bukan datang dari Nabi. Sifat berhati-hati ni bukanlah sesuatu yang pelik kerana tugas Sahabat pada waktu itu bukanlah semata-mata berkaitan Hadis Nabi, bahkan yang lebih utama adalah berkaitan kalam Ilahi iaitu Al-Quran yang diturunkan selama 23 tahun semasa hayat Baginda.

Tidak perlu timbul persoalan ketidakpercayaan di kalangan Sahabat baginda apabila mereka menggunakan sistem "sumpah dan saksi" apabila meriwayatkan Hadis. Ini adalah kerana sistem ini dapat menjustifikasikan bahawa apa yang disampaikan itu benar-benar daripada Nabi. Al-Quran sendiri menegaskan bahawa para Sahabat semuanya boleh dipercayai apabila menyampaikan berita (sila rujuk Surah at-Taubah:ayat 100, dan al-Fath:18). Mereka tidak berbohong tentang apa sahaja yang berkaitan atau yang datang daripada Nabi.

Namun apabila berlaku peristiwa FITNAH (pembunuhan Khalifah Islam ke-3; Saidina Uthman b. Affan RAH dalam tahun 35H), umat Islam ketika itu berpecah kepada Jumhur, Syiah, dan Khawarij. Maka berlakulah pemalsuan terhadap Hadis yang disandarkan kepada Nabi dalam mempertahankan ataupun dalam konfrantasi kepercayaan masing-masing. Sejak itu, ketelitian terhadap "SANAD" amat ditekankan.

Pada pertengahan kurun kurun ke 2H, bermulalah pembukuan berkaitan Ilmu Hadis tetapi tidaklah dalam bentuk eksklusif. Ini kerana ia bercampur dengan Ilmu lain iaitu Usul-Fiqh (dalam al-Risalah oleh Imam Syafie), dan Fiqh (dalam al-Umm juga oleh Imam Syafie).
Seterusnya, pada kurun ke-3H, berkembanglah penulisan dan pembukuan tentang Ilmu Hadis,dalam pelbagai aspek tetapi masih belum dalam satu entiti khas Ilmu Hadis kerana aspek-aspek ini terpisah-pisah perbincangannya. Antara contohnya ialah Mukhtalif Hadis oleh Ali bin al-Madini, dan Takwil Mukhtalif Hadis oleh Ibn Qutaibah.

Kedapatan juga beberapa orang ilmuan Hadis pada kurun ke-3 ini membentangkan beberapa prinsip berkaitan Ilmu Hadis ini di dalam manuskrip mereka. Antara para ilmuan itu ialah Imam Muslim di dalam Sahih Muslim. Kurun ini juga dikenali sebagai "era keemasan Hadis" kerana pada kurun inilah ditulis pelbagai buku Hadis.

Pada kurun seterusnya iaitu kurun ke-4 dan 5H, kedapatan pelbagai kompilasi berkaitan Ilmu Hadis di dalam pelbagai aspek.; antaranya Ma'rifat Ulum al-Hadis oleh al-Hakim dan al-Kifayah fi Ilmu al-Riwayah oleh Khatib al-Baghdadi. Pada kurun ke-4H inilah Ilmu Hadis dikompilasikan secara khusus dalam entitinya sebagai Ilmu Hadis seperti yang terdapat dalam buku Al-Muhaddis al-Fasil Baina al-Rawi wa al-Wai' oleh al-Ramahurmuzi.

Begitulah akhirnya Ilmu Hadis ini terus bekembang penulisannya secara ilmiah pada kurun-kurun seterusnya dalam entiti yang tersendiri sehinggalah kurun moden kita ini.

No comments: