Islamic Widget

PEMBACA

Tuesday, July 7, 2009

Wasiat Rasulullah

Wasiat Rasulullah Ketika Menunaikan Haji Wida`

Wasiat ini diucapkan oleh Rasulullah saw ketika berada di atas unta baginda, Al Qaswa, ketika mengerjakan haji yang terakhir yang dinamakan haji wida` pada tanggal 10 Hijrah di hadapan jemaah haji yang turut serta bersama baginda. Ia diucapkan di tempat yang berbeza-beza seperti Arafah dan Mina dan pada masa yang juga berbeza-beza seperti pada hari Arafah, hari Nahr (hari raya korban) dan hari-hari tashriq.

Wahai manusia sekalian, dengarkanlah apa yang akan ku perkatakan, sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku akan dapat menemuimu lagi setelah tahun ini, di tempat wukuf ini.[1]

(1) larangan membunuh jiwa, mencabuli kehormatan dan mengambil harta orang lain tanpa alasan yang hak
Wahai manusia sekalian,
Sesungguhnya darah kamu, kehormatan kamu dan harta kekayaan kamu haram ke atas kamu, sebagaimana haramnya hari kamu ini (hari Arafah), bulan kamu ini (Zulhijjah) dan negeri kamu ini (Mekah).[2]
Keterangan: Kebesaran dan kehormatan hari Arafah, bulan Zulhijjah dan Mekah adalah hakikat yang sudah diketahui oleh bangsa Arab ketika itu untuk menghormatinya. Mereka dilarang mencerobohi kesuciannya. Begitulah halnya dengan nyawa, kehormatan dan harta mempunyai kedudukan yang jelas tentang nilainya. Ia perlu dihormati. Ia tidak boleh dicerobohi sewenang-wenangnya sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab sebelum Islam. Perbandingan dengan tiga perkara tersebut adalah semata-mata untuk menunjukan betapa kuatnya nilai nyawa, kehormatan dan harta perlu dijaga sebagaimana kuatnya orang-orang Arab pada waktu itu menjaga syiar-syiar tersebut. Wasiat ini menunjukan Islam menjaga huquuqu l-insaan, hak kemanusian .

(2) kewajiban meninggalkan amalan jahiliyah seperti: pembunuhan dan riba
Ketahuilah sesungguhnya semua perkara berkenaan dengan jahiliyah telah diletakkan dibawah kedua kakiku (sebagai tanda ianya telah dihapuskan). Darah yang ditumpahkan semasa jahiliyyah dihapuskan. Tuntutan darah yang pertama aku hapuskan ialah darah Ibn Rabi`ah bin Al-Harith. Ibn Rabi`ah disusui oleh suku Bani Sa`ad, kemudian dia dibunuh oleh (seorang lelaki daripada kabilah Bani) Huzail.
Riba yang dilakukan pada zaman jahiliyah juga terhapus. Dan riba kita yang pertama sekali aku hapuskan ialah riba Abbas bin Abd Mutattalib. (Dengan demikian) semua riba telah terhapus.[3]
Keterangan: Masyarakat jahiliyyah berbangga dengan adat resam mereka walaupun ianya bertentangan dengan nilai murni manusia. Di antara resam buruk jahilliyah yang cuba dihapuskan oleh Rasulullah ialah sifat berbangga-bangga dengan keluarga masing-masing, saling mengutuk nasab keturunan, taksub dengan sesuatu, melakukan pertumpahan darah sewenang-wenangnya dan sebagainya. Kedatangan Rasulullah saw adalah untuk menghapuskan amalan buruk ini dan baginda berjaya menghapuskannya. Baginda mempunyai seorang sepupu bernama Rabi`ah bin Al Haris bin Abd Muttalib. Beliau mempunyai seorang anak bernama Iyas. Ia dipelihara oleh kabilah Bani Sa`ad untuk tujuan penyusuan. Ketika pergaduhan antara Bani Sa`ad dengan Bani Huzail, Iyas yang masih kecil telah dibunuh oleh salah seorang daripada mereka. Berlakulah perwarisan untuk menuntu bela di atas darah Iyas dari pihak keluarganya. Ia dinamakan `darah Al Harith` atau `darah Rabi`ah` mengambil sempena wali yang menuntut darah itu. Walaubagaimana pun Rasulullah saw telah memansuhkan penuntutbelaan jahiliyah tersebut. Rasulullah saw telah menjadikan dirinya sebagai contoh tauladan yang baik kerana baginda memulakan pembatalan amalan qisas jahiliyyah bukan kepada orang lain, malah pada pihak keluarganya sendiri. Begitulah halnya dengan riba. Abbas ialah bapa saudara Nabi saw.

(3) berwaspada dengan tipu daya syaitan
Sesungguhnya syaitan telah berputus-asa supaya ia disembahi di negeri kamu (ini). Akan tetapi, selain daripada itu, syaitan akan berpuas hati jika kamu mentaatinya pada setengah perkara daripada amalan yang kamu anggap ianya kecil, maka berwaspada lah kamu.[4]
Dalam satu riwayat:
Sesungguhya syaitan telah berputus-asa agar ia disembah oleh orang-orang yang bersembahyang tetapi tidak akan berputus asa untuk membangkitkan perselisihan sesama kamu.[5]
Keterangan: Syaitan berasa dukacita melihat Islam telah menjadi kuat dan tersebar di semenanjung tanah Arab. Syirik telah terhapus sama sekali. Menjadi suatu kesukaran untuk syaitan memurtadkan kembali orang mukmin secara total kepada agama asal mereka. Tetapi syaitan akan bergembira dan senang hati jika ia berjaya memalingkan umat Islam kepada bibit-bibit syirik dan ketidaktaatan kepada agama yang tidak disedari oleh umat Islam bahawa ianya termasuk perbuatan syirik dan sesat.

(4) larangan mengharamkan sesuatu yang dihalalkan dan sebaliknya
Wahai manusia sekalian,
Sesungguhnya merubah-rubah bulan suci itu (nasii`) akan menambah kekufuran. Dengan cara itulah orang-orang kafir menjadi tersesat. Pada tahun yang satu mereka menghalalkanya dan pada tahun yang lain mereka mengharamkannya untuk disesuaikan dengan hitungan apa yang diharamkan oleh Allah. Lalu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan Allah, dan mengharamkan apa yang telah dihalalkanNya.
Sesungguhnya zaman akan terus berputar, seperti keadaan berputarnya pada waktu Allah menciptakan langit dan bumi. Sesungguhnya bilangan bulan (setahun) di sisi Allah ialah dua belas bulan. Antaranya: Empat bulan adalah bulan-bulan haram; Tiga bulan berturut-turut (Dzul Qa’dah, Dzul Hijjah, dan Muharram); Bulan Rajab adalah bulan antara bulan Jumadil Akhir dan bulan Sya’ban.[6]
Keterangan: Bulan-bulan seperti Rajab, Zul Qaedah, Zul Hijjah dan Muharram dianggap sebagai bulan haram bagi masyarakat Arab yang diwarisi daripada ajaran Nabi Ibrahim. Di dalam bulan ini mereka dilarang berperang. Namun apabila mereka terpaksa berperang di dalam bulan Muharram contohnya mereka mengalihkan keharaman bulan Muharram kepada bulan Safar. Bulan Safar yang dahulunya halal telah dijadikan haram manakala bulan Muharram yang haram telah dijadikan halal demi kepentingan mereka. Ini lah yang dikatakan nasii`.
Apabila mereka menukarkan bulan-bulan itu maka musim haji tidak akan jatuh pada bulan yang sepatutnya ia disyariatkan. Di saat Nabi saw mengerjakan haji wida` kebetulan ianya jatuh pada bulan Zul Hijjah di sisi orang kafir Mekah. Seolah-olah Rasulullah saw maksudkan dengan sabdanya "Sesungguhnya zaman akan terus berputar, seperti keadaan berputarnya pada waktu Allah menciptakan langit dan bumi" bahawa bulan itu telah kembali kepada fitrah penciptaannya ketika diciptakan langit dan bumi setelah ia dilenyapkan oleh perbuatan manusia. Maka jatuhlah musim haji pada bulannya yang sebenar.

(5) kewajiban memuliakan wanita.
Takutlah kepada Allah dalam soal wanita, karena kamu telah mengambil mereka (menjadi isteri) dengan amanah Allah. Dan kehormatan (faraj) mereka telah dihalalkan bagi kamu sekalian dengan nama Allah.
Mereka berkewajipan menunaikan tanggugjawab terhadap kamu iaitu dengan tidak membenarkan seorang pun yang kamu tidak suka masuk ke rumah mu. Jika mereka melakukan demikian maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Dan kamu pula berkewajipan memberikan hak mereka yang berupa makan minum dan pakaian secara yang baik. [7]
Keterangan: Wasiat Rasulullah saw terhadap menjaga kepentingan wanita sesuai dengan firman Allah swt: وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ "dan bergaul lah dengan mereka dengan cara yang baik". [An Nisa: 19]
Wanita dinasihatkan supaya menjaga kehormatan rumah tangga suami. Mengelakkan daripada sebarang fitnah yang akan menimbulkan suasana tidak harmoni di dalam rumahtangga. Suami pula dilarang menggunakan kekerasan ke atas isteri. Hukuman biarlah setimpal dengan kesalahan malah mestilah mengikut apa yang disyariatkan oleh agama.
Wasiat ini memperlihatkan suatu batas yang Islam gariskan berkenaan dengan hubungan antara lelaki dan wanita. Ia juga merupakan suatu asas yang dibina oleh Islam tentang kebebasan wanita yang sebelum ini dikongkong oleh tradisi jahiliyyah. Mereka bebas melakukan apa sahaja perkara kepada wanita.

(6) Kewajiban berpegang teguh pada Al Qur’an dan as Sunnah
Sesungguhnya Aku tinggalkan kepada kamu sesuatu, yang jika kamu berpegang dengannya maka selama-lamanya kamu tidak akan sesat, iaitu kitab Allah.[8]
Keterangan: Rasulullah saw hanya menyebut kitab Allah sebagai pegangan yakni Al-Quran tanpa menyebut Sunnahnya. Ini adalah kerana di dalam Al-Quran sendiri sudahpun menyebut supaya mentaati Rasul saw. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul(Nya)". [An Nisaa 59].

(7) kewajiban mentaati pemimpin siapapun dia selama ia berpegang teguh kepada al Qur’an
Wahai manusia sekalian..
Takutlah kepada Allah. Jika yang memerintah kamu adalah seorang hamba Habshi berhidung sumbing (sekalipun) maka dengar dan taatlah perintahnya selama dia melaksanakan untuk kamu (ajaran) kitabullah (Al Quran ).[9]
Keterangan: Rasulullah saw menasihati umatnya agar selalu mentaati pemimpin walaupun pemimpin yang dilantik itu kelihatan rendah martabatnya disisi mereka selagi ia tidak memerintah melakukan maksiat yaitu bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul untuk mengelakkan timbulnya fitnah dalam masyarakat.

(8) Peringatan orang yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa
Wahai manusia sekalian,
Ketahuilah, sesungguhnya tuhan kamu itu satu dan bapa kamu juga satu. Tidak ada kelebihan orang Arab berbanding dengan orang bukan Arab. Tidak juga orang bukan Arab melebihi orang Arab. Tidak yang berkulit merah melebihi yang berkulit hitam. Tidak juga yang berkulit hitam melebihi yang berkulit merah melainkan (kelebihan itu) dengan takwa.[10]
Keterangan: Wasiat ini adalah satu agenda memperkenalkan prinsip kesamarataan dalam Islam. Ukuran kemuliaan dan kelebihan sesorang itu ialah takwa. Takwa ialah buah yang terhasil daripada amal soleh yang dilakukan oleh seseorang individu. Ukuran kemulian yang digariskan oleh Islam tidak mengambil kira sudut material atau pandangan zahir.

(9) Peringatan bahawa Umat Islam adalah bersaudara, larangan bersikap zalim dan kembali kepada kekufuran.
Sesungguhnya setiap muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain. Dan semua kaum muslimin itu adalah ikhwah (bersaudara). Seseorang tidak dibenarkan mengambil sesuatu milik saudaranya kecuali yang telah diberikannya dengan senang hati. Janganlah kamu bersikap zalim. Dan jangan kamu kembali kepada kekufuran selepas pemergian ku dengan memenggal tengkuk (berbunuh-bunuhan) sesama kamu .[11]
Keterangan: Kedatangan Islam adalah untuk memberitahu umatnya bahawa mereka adalah bersaudara sebagaimana firman Allah: إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara [Al Hujaraat: 10].
Walaupun bersaudara kita tidak dibenarkan mengambil hak saudara kita yang lain tanpa keizinannya. Allah saw berfirman: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ Wahai orang-orang yang beriman jangan lah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil [An Nisaa: 29].
Rasulullah juga berpesan agar jangan bersifat zalim. Zalim bermakna meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Dari sudut agama ialah: melampaui dari yang haq dan condong kepada yang batil; ketidakadilan; melampau batas.
Di antara wasiat Rasulullah saw kepada umatnya ialah supaya sentiasa istiqamah dengan Islam dan tidak kembali menajadi kufur dengan berperang sesama sendiri selepas baginda meninggalkan dunia. Kemungkinan maksud kekufuran disini ialah:
-berbunuhan adalah kufur nikmat.
-tindakan berbunuhan itu mendekati kufur.
-tindakan berbunuhan itu boleh membawa kepada kekufuran.
-perbuatan berbunuhan itu seperti perbuatan orang kafir.
- berbunuhan boleh menjadi kafir.
-mengkafirkan sesama kamu sehingga boleh membawa kepada halalnya berperang dengan orang yang menjadi kafir.

(10) kewajiban menyampaikan wasiat Rasulullah saw kepada yang lain
Kalau kamu semua nanti akan ditanya tentang aku, maka apakah yang akan kamu katakan? Semua yang hadir menjawab: Kami bersaksi bahwa engkau telah menyampaikan (risalah), engkau telah menunaikan (amanah), dan telah memberikan nasehat (kepada ummah). Sambil menunjuk ke langit, Nabi Muhammad kemudian bersabda: ”Ya Allah, saksikanlah pernyataan mereka ini..Ya Allah saksikanlah pernyatan mereka ini..Ya allah saksikanlah pernyataan mereka ini..”[12].
Hendaklah mereka yang hadir dan mendengar khutbah ini menyampaikan kepada mereka yang tidak hadir. Mungkin orang yang tidak hadir (mendengar khutbah ini) lebih memahami daripada mereka hadir..[13]
Keterangan: Wasiat Rasulullah ini sesuai dengan sabda baginda di tempat yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً "sampaikan daripada ku walaupun sepotong ayat". Oleh kerana wasiat berupa khutbah ini mempunyai kedudukan sebagai amanat terakhir bagi risalah Islam maka Rasulullah saw memerintahkan umatnya agar menyampaikan amanat ini kepada mereka yang belum mendengarnya di segenap pelusuk dunia. Ianya menunjukkan kepentingan menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia. Setiap orang Islam mempunyai tanggugjawab berdakwah menyampaikan risalah Islam.
[1] Baihaqi dalam Dalail Nubuwwah No 2182/Jilid 6/m.surat 54.
[2] Bukhari No 1739/Jilid 6/m.surat 410; Muslim No 3009/Jilid 8/m.surat 54.
[3]Muslim No 3009/Jilid 8/m.surat 54.
[4] Hakim di dalam Mustadrak No 290/Jilid 1/m.surat 306. Sahih menurut Albani di dalam Sahih Targhib wa Tarhib.
[5] Tirmizi, No 2062/Jilid 7/m.surat 405.
[6] Ibn Hisham, Jilid 6/m.surat 8; Muhammad Ghazali, Feqah Sirah, m.surat 456. Sahih menurut Albani.
[7]Muslim No 3009/Jilid 8/m.surat 54.
[8] Muslim No 3009/Jilid 8/m.surat 54.
[9] Tirmizi, No1706/Jilid 4/m.surat 209.
[10] Ahmad, dalam Musnad, No23536/Jilid5/m.surat 411. Sanadnya sahih menurut Shuib Arnaut.
[11] Hakim di dalam Mustadrak, No318/Jilid 1/m.surat 171
[12] Muslim No 3009/Jilid 8/m.surat 54.
[13] Bukhari No 1741/Jilid 6/m.surat 412.