Al-Ikhlas bermakna pembebasan. Surah ini juga dinamakan sebagai surah tafrid (penunggalan), tajrid (penanggalan, pembebasan), tauhid (pentauhidan), najah (kebebasan, keselamatan). Walau apapun nama yang diberikan kesemuanya mencangkupi makna pembebasan daripada sebarang bentuk kesyirikan dan keselamatan daripada api neraka. Ia juga dinamakan surah wilayah (kewalian) kerana sesiapa yang membacanya akan benar-benar mengenal Allah. Manakala orang yang mengenal Allah adalah wali Allah.
Selain itu, surah Al-Ikhlas mempunyai beberapa nama lain lagi yang kesemuanya bersempena dengan tema dan message yang terkandung di dalamnya. Misalnya ia juga dinamakan sebagai surah asas kerana tauhid merupakan asas kepada agama.
Sebagaimana yang masyhur didalam riwayat hadis bahawa Rasulullah saw meletakan taraf surah Al-Ikhlas menyamai satu pertiga Al-Quran. Umat Islam sepatutnya merasai amat bertuah kerana dianugerahkan surah dengan nilai yang sedemikian tinggi walhal ia hanya mengandungi empat ayat sahaja. Melihat kepada ketinggian nilai dan maknanya itu maka tidak hairanlah ada di kalangan sahabat Nabi saw yang membacanya berulang-ulang kali sehingga menghairankan sahabat yang lain kenapa dia berbuat begitu sedangkan pada zahirnya ia kelihatan kecil.
Surah ini mengajak kita mengesakan Allah dalam segenap perkara. Dialah esa dari segi Zatnya. Dialah esa dari segi kuasaNya. Walaupun manusia tidak dapat melihat Allah tetapi manusia dapat mengetahui betapa Allah amat berkuasa melalui akal dan pengamatannya terhadap segala yang disekeliling.
Pengesaan kepada Allah akan menatijahkan satu manifestasi kehidupan. Jika Allah diesakan maka manusia tidak akan lagi menjadikan hawa nafsunya sebagai kuasa yang perlu ditaati. Jika Allah diesakan maka manusia akan melihat bahawa kesemua kejadian ini adalah milik Allah. Daripada Allah ia datang kepada Allah ia akan dikembalikan. Jika Allah diesakan maka manusia tidak lagi melihat sebab dan musabab sebagai penghujung kepada fenomena alam, samada yang melibatkan manusia atau berkenaan dengan alam tabii. Tidakkah kita merasai manifestasi keesaan Allah ini melalui firmannya:
-dan bukan kamu yang melemparkan ketika kamu melemparkan, tetapi Allahlah yang melempar. (Al-Anfal: 17)
-dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana (Al-Imran: 126)
-Kamu tidak menentukan kehendak kamu kecuali dikehendaki Allah (Al-Insan: 30)
Mengesakan Allah juga bererti menjadikan Allah sebagai sesatunya tempat tuju. Tiada tempat yang dituju, yang diminta sesuatu, yang diminta perlindungan melainkan Allah. Itulah ertinya Samad. Jika tidak ditegaskan kesamadan nescaya manusia akan beriman dengan Allah tetapi masih bergantung dengan sesuatu yang lain dalam kehidupan mereka. Justeru, manusia tidak dengan sebenarnya melakukan pengikhlasan atau pembebasan daripada penyegutuan halus terhadap Allah. Sungguh ajaib kerana perkataan samad di dalam Al-Quran hanya terdapat di dalam surah al- Ikhlas ini sahaja! Tidakkah ia menunjukkan kepentingannya?
Surah Al-Ikhlas juga mengajak kita agar melakukan dakwah yang besar menyeru manusia kepada Tauhid kerana sebahagian besar manusia di dunia ini berada di dalam kesyirikan samada menjadikan Allah sebagai kuasa yang ada keturunannya di dunia atau menyamakan Allah dengan sesuatu.
Semoga pengajaran daripada surah Al-Ikhlas ini akan menyedarkan kita akan kepentingan pengukuhan akidah dan memberi kesan kepada kelonglaian iman agar ia benar-benar menjadi kuat, mampu menghadapi kemelut kehidupan yang mampu menghakis keutuhan iman. (petikan dari artikel Zaharudin Nawi utk Exim Bank)