Islamic Widget

PEMBACA

Friday, July 10, 2009

Tesis M.A: Larangan menyerupai orang-orang bukan Islam

Berikut ialah abstrak tesis MA saya dalam bidang hadis yang bertajuk:Larangan menyerupai orang-orang bukan Islam dan prinsip-prinsip implementasi daripada neraca Sunnah Nabi.

Islam sebagai satu agama dan satu cara hidup telah mengatur tatacara kehidupan manusia. Di antara salah satu tatacara hidup yang penting untuk diberi perhatian ialah hubungan antara orang-orang Islam dengan penganut-penganut agama-agama lain. Terdapat dalil-dalil samada daripada Al-Quran mahupun Sunnah Nabi khusus mengenai larangan menyerupai penganut-penganut agama-agama lain samada dari segi kepercayaan mahupun amalan.


Pengkaji mengambil kesempatan ini untuk mengetengahkan isu larangan menyerupai orang-orang bukan Islam dan membincangkan prinsip-prinsip implementasi daripada neraca Sunnah Nabi tanpa mengabaikan situasi kontemporari. Ini kerana perubahan masa dan tempat perlu di ambilkira dalam memahami Sunnah Nabi untuk diamalkan dalam konteks masakini.


Pengkaji akan menggunakan metod deduktif dalam mengetengahkan hadis-hadis yang terdapat di dalam buku-buku hadis berkaitan isu ini. Seterusnya metod kritis akan digunakan untuk menilai hukum hadis-hadis tersebut dari segi penerimaan dan penolakan. Manakala metod analisis akan digunakan untuk mengeluarkan prinsip-prinsip yang perlu diikuti dalam implementasi hadis-hadis tersebut menurut neraca Sunnah Nabi dalam konteks kontemporari.