Islamic Widget

PEMBACA

Wednesday, November 4, 2009

Dari Baling ke UIAM: Sekolah rendah (1987-1992)

Saya sebenarnya bukanlah pelajar yang cemerlang sangat. Hanya cemerlang di sekolah rendah (Sek Keb Seri Bayu) dan dianugerahkan pelajar terbaik sewaktu darjah 6 pada tahun 1992. Alaa...sekolah kampung, cemerlang di tempat saya mungkin hanya sederhana di tempat lain.

Saya dilahirkan dalam keluarga yang susah tetapi tidaklah terlalu doif. Masih cukup untuk makan, minum dan beribadah. Rumah buluh beratapkan rumbia itulah teratak kami sekeluarga. Kemudian dari buluh bertukar ke papan beratapkan zink.

Air pula di ambil dari perigi dan sungai. Mandi air sungai pagi2 sangatlah dingin. Abah selalu buat unggun api buat kami panaskan badan. Yang pasti saya adalah orang yg terakhir terjun kedalam sungai untuk mandi. Sebelum itu, saya memanaskan badan ditepi unggun api...terasa malas nak mandi.

Pergi sekolah kadang2 berjalan kaki selama kira2 20minit. Sepanjang di sekolah rendah saya memakai "sepatu sekolah bentuk ikan haruan" kerana harganya murah dan itu yg mampu dibeli oleh abah kepada kami 4 beradik yg bersekolah pada ketika itu.

Sejak kecil saya belajar berniaga kecil-kecilan. Membawa kuih-muih untuk dijual di sekolah agama sesi petang. Yang saya masih ingat saya menjual cucur udang dan kuih rotan. Seronok berniaga bila semuanya "laku", tapi kalau tak "laku" terutamanya ketika hujan terasa sedih sangat.

Selain daripada berniaga, saya juga berkebun, memelihara lembu dan memanjat pokok buah-buahan untuk dijual. Berkebun pada waktu pagi di hari cuti. Mengambil lembu di padang rumput selepas pulang dari mengaji agama waktu petang kira2 dalam pukul 6. Dan memanjat pokok pada musimnya kerana ketika itu hanya abang anak lelaki (kini saya ada seorang adik lelaki). Saya, kakak dan abang memnajat pokok rambutan dan manggis untuk di ambil buan2nya. Paling saya suka adalah memanjat pokok manggis, ketika berada di puncaknya. Best sangat!!

Ketika musim sawah, saya ikut bersawah. Bermula daripada kerja2 mencangkul rumput di bendang, menanam padi (orang baling sebut menyedung), "mengerat" padi, dan "memukul" padi. Semua telah saya lakukan dengan penuhh gembira. Paling gembira adalah "memukul" padi di waktu malam di bawah cahaya rembulan purnama.

Ada ketika diwaktu pagi sewaktu cuti sekolah saya akan menoreh pokok getah. Selalunya mak melarang saya menoreh kerana bimbangkan pokok getah "luka". Mak selalunya akan hanya menyuruh saya mengutip getah "sekerap".

Apabila musim buah kopi masak, saya akan ikut mak mengutip buah2 kopi yang kemerah-merahan. Ada sesetengah pokok yang saya terpaksa panjat dan menggunakan kayu pengait untuk mengait buah kopi. Kemudian buah2 kopi tadi akan dijemur sehingga kering. Selepas itu ia akan ditumbuk untuk dibuang kulitnya. Isinya itulah dijual. Dan ada yang digunakan oleh kami sendiri.

Ermmmm...seronok memproses kopi ni. Mula2 isi kopi yang telah kering dan bersih tadi digoreng tanpa minyak sehingga masak. Setelah masak, angkat isi kopi tadi dan masak pula air gula samada gula perang atau gula putih. Ketika inilah kami adaik-beradik akan sibuk mengambil daun kopi untuk diberikan kepada mak supaya dapat dibubuh air gula tadi. Apabila beku air gula tadi diatas daun kopi bolehlah dimakan sebagai coklat. Rasanya enak sekali ditambah dengan aroma daun kopi. Apabila air gula masak, masukkan isi kopi tadi dan kacau hingga masak iaitu apabila ia melekit-lekit. Sejukkan sebentar. Kemudian bolehlah tumbuk isi kopi tadi (sekarang mak suka blend jer...).Selepas ditumbuk sehingga hancur, ayaklah isi kopi yang telah menjadi tepung tadi untuk diambil debunya yang halus2 yang dinamakan serbuk kopi......ERM SEDAPNYA KOPI TRADISIONAL MAK!!!

Air kopi dan teh adalah minuman seharian kami selain daripada air masak. Kalau dapat minum air MILO waktu itu terasa nikmat sangat. Makanan seharian kami pula biasanya yang percuma -percuma sahaja dari sumber alam seperti pucuk paku, pisang, jantung pisang, batang@umbut pisang, terung "ceweng" dan lain2 tanaman. Pucuk paku boleh dikatakan santapan harian kami. Kadang2 dimasak lemak, kadang2 digulai, kadang2 digoreng dan kadang2 dijadikan ulam. Terung ceweng pula enak dibuat sambal tumis ikan bilis.

Di seolah rendah macam2 pertandingan saya masuk; hafal ayat2 "Lazim", menyanyi, berlakon, nasyid dan sebagainya kecuali sukan. Sebabnya saya tidak punyai bakat bersukan. Lagipun saya tiada pakaian sukan, asyik bergilir pakaian sukan kakak. Yang ada hanyalah yang usang dan lusuh yang saya malu nak pakai kerana saiznya yang sudah ketat buat saya. Tapi saya masih sempat mewakili sekolah dalam sukan bola tampar ke peringkat zon. Itu pencapaian terbaik saya dalam sukan. Manakala pencapaian saya dalam hafalan Al-Quran (ayat2 Lazim) pula ialah mewakili zon keperingkat daerah.

No comments: